Isnin, 31 Januari 2011

Isteri masih mencari lain

Kes curang yang melibatkan bini dan suami orang ni memang dah berleluasa sejak dulu lagi. Kepada sesiapa yang sedang berada dalam situasi ini, saya berharap anda semua bersabar dan dalam masa yang sama atur langkah strategik untuk menyelesaikan masalah anda.

Kenapa terjadinya kes curang yang melibatkan pasangan yang sudah berkahwin?

“Apa best sangat ke main dengan bini orang?”, kata S (bukan nama sebenar) yang kecewa apabila isterinya digoda oleh seorang lelaki lain yang sudah ada isteri dan anak.

Dalam situasi sebegini, semua pihak harus bertanggungjawab. Bila dah jadi, kita selalunya akan mencari di mana salahnya dan kebiasannya akan menyalahkan orang lain daripada diri sendiri.

Si isteri kalau dah tahu ada lelaki lain hendak masuk ‘line’ maka janganlah terhegeh-hegeh juga kepada lelaki tu. Anda bukan lagi anak dara yang sedang menunggu sang putera untuk meminang. Stop playing the game.

Memang kita harus layan orang dengan baik. Lebih-lebih lagi lelaki tersebut rakan sekerja yang sentiasa berada di pandangan mata setiap hari. Ingatlah kepada suami dan anak di rumah.

Di sinilah pentingnya kekuatan mental dan prinsip kita untuk mengawal situasi yang bakal kita hadapi. Kehidupan ini 10% datangnya daripada apa yang menimpa kita, 90% adalah bagaimana kita bertindakbalas dengan apa yang menimpa kita.

Si suami, kalau sedar akan tanda-tanda awal isteri dah mula lain macam, maka cepat-cepatlah mengatur langkah pencegahan sebelum isteri anda digelar “isteri curang”. Lakukan apa sahaja cara untuk menambat hati isteri agar dia tidak terfikir kemungkinan lain.

Kepada si lelaki yang suka main isteri orang pula, berhentilah daripada perbuatan ini kerana sesungguhnya perbuatan yang meruntuhkan rumahtangga orang ini besar dosanya (melainkan dengan niat membantu si isteri yang dizalimi oleh suaminya).

Sel otak wanita kurang apabila putus cinta

LONDON: Kesedihan yang dialami wanita akibat putus cinta boleh mengubah kegiatan sel otak mereka, menurut satu laporan baru yang disiarkan akhbar The Telegraph.

Laporan oleh saintis Amerika mendapati kekecewaan yang dirasakan wanita selepas berakhirnya hubungan romantik dengan pasangan masing-masing boleh memberi kesan kepada otak dengan cara tersendiri dan tidak dapat dikesan oleh pengimbas otak.

Kajian mendakwa wanita yang selalunya kecewa apabila putusnya hubungan cinta menunjukkan penurunan mendadak dalam aktiviti sel otak dalam bahagian otak yang mempunyai kaitan dengan emosi, motivasi dan perhatian.

Dr Ajif Narib, yang mengetuai pasukan penyelidik di Universiti Perubatan Carolina Selatan, berkata: “Gejala kemurungan seperti mood yang tidak baik, hilan
g motivasi dan selera makan ialah perkara biasa yang dialami berikutan putus cinta atau kematian orang tersayang.

“Bagaimanapun, perkara paling penting mengenai kajian ini ialah menjelaskan aktiviti otak berkaitan dengan kekecewaan akibat perpisahan mengikuti paten unik yang berbeza dengan jenis kehilangan lain seperti kematian.”

Kajian dijalankan ke atas 11 wanita berusia antara 18 dan 40 tahun yang menjalin hubungan cinta sekurang-kurangnya enam bulan tetapi sudah berakhir 16 minggu lalu.

Semua wanita terbabit mengalami masalah untuk pulih akibat terlalu kecewa dengan perpisahan mereka.

Penyelidik menggunakan teknik ujian MRI untuk mengawasi aktiviti sel otak wanita berkenaan ketika mereka memberi tumpuan kepada kenangan pahit mengenai bekas teman lelaki dan suami.

Ujian MRI itu kemudiannya dibandingkan dengan aktiviti sel otak lain yang dilihat ketika wanita berkenaan memikirkan perkara neutral mengenai orang lain.

Keputusan imbasan menunjukkan wanita yang mendakwa menderita akibat perpisahan mempunyai perubahan otak ketara apabila berfikir mengenai hubungan cinta mereka yang sudah putus.

Pakar psikiatri di universiti berkenaan, Dr Jeffrey Lorberbaum, berkata kajian itu dapat membantu melanjutkan penyelidikan mengenai punca kemurungan.

Penyelidikan juga mendapati wanita berkemungkinan dua hingga tiga kali untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki dan kawasan otak yang dipercayai berkaitan dengan kemurungan lebih aktif pada wanita berbanding lelaki.


rabiatul adawiyah perindu cinta abadi


Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam
.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,

Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,

Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,

Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Nik Aziz akui penduduk Kelantan pengotor

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam mengakui sukar mengubah tabiat buruk rakyat negeri itu yang disifatkannya ‘pengotor’ terutama membuang sampah sesuka hati yang menjadi budaya hidup.

Beliau berkata, golongan itu ialah kelompok yang masih mengekalkan cara hidup zaman berzaman hingga membentuk generasi membentang tikar untuk makan sebelum membuang sampah ke bawah rumah melalui celah lantai.

Katanya, generasi itu kini masih wujud walaupun sudah berhijrah ke bandar, tetapi mengekalkan sikap itu sekali gus menjadikan bandar Kota Bharu kotor dan dipenuhi sampah sarap yang dibuang di merata tempat.

“Kita berusaha menghapuskan generasi pengotor ini tetapi bukan senang untuk mengubah pemikiran rakyat, khasnya yang ada
kaitan dengan kebersihan kerana amalan itu (pengotor) menjadi budaya mereka.

“Kita harap generasi itu membuang tabiat buruk (pengotor) bagi memastikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Bandar Kota Bharu Bandaraya Islam berjalan lancar,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kota Bharu Bandaraya Islam di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, mengulas usaha Kerajaan Pas Kelantan melancarkan Kota Bharu Bandaraya Islam sedangkan keadaan sekitar bandar ini sebenarnya masih kotor.

Dalam ucapan pelancaran, Nik Abdul Aziz berkata, MPKB memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, kebajikan dan kesejahteraan penduduk kawasan perbandaran ini yang menjadi asas penting pewujudan sebuah bandar raya Islam.

Beliau berkata, tujuan kerajaan negeri memperkenalkan Islam pada peringkat perbandaran antaranya untuk menghapuskan tuduhan ganas pihak Barat mengenai Islam yang dilabelkan ganas dan suka membunuh orang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Takiyuddin Hassan, mengakui masyarakat negeri ini pengotor.

“Kita akui generasi itu masih ada. Saya bersama Yang Dipertua MPKB sendiri cukup faham mengenai sikap dan perangai masyarakat kita terutama peniaga.

“MPKB sudah diarah bertindak mengarahkan premis perniagaan yang kotor ditutup beberapa hari. Kita akan suruh mereka membersihkan premis itu sebelum dikompaun kerana kotor,” katanya.

Lelaki Melayu tak Romantik

Oleh NORAINI ABD. RAZAK – Utusan Malaysia…

LELAKI Melayu tidak romantik? Pasti ada yang bersetuju dan sebaliknya. Persoalan ini bukan baru. Ketika pekerja asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan berduyun-duyun masuk ke Malaysia, isu ini hangat diperkatakan.
Khabarnya gadis tempatan berpinar mata untuk membuat pilihan.

Selain kelihatan segak, bergaya – lelaki asing dikatakan ada faktor ekstra iaitu romantik. Tidak kurang juga memilih lelaki dari negara sempadan. Sampai sanggup buang emak, buang saudara semata-mata mahu mengikat kasih dengan lelaki bukan Melayu.

Bagaimanapun pula lelaki bukan Melayu tempatan. Lelaki berbangsa Cina, India? Romantikkah mereka berbanding kaum sejenis tetapi berketurunan Melayu?
Bertambahkah angka perkahwinan campur antara gadis Melayu dan lelaki bukan Melayu? Jika meningkat mungkin boleh dijadikan fakta sokongan bahawa lelaki bukan Melayu memang romantik. Sebab itu agaknya mereka berjaya menambat hati gadis Melayu.

Istilah romantik pun bukan lahir dalam masyarakat Melayu. Ia istilah bahasa Inggeris, yang jika dirujuk kepada kamus diterjemahkan menjadi romantis. Tidak ada penjelasan lanjut perihal romantis.
Justeru romantik atau romantis itu sifat sebenarnya sangat subjektif. Boleh jadi ia gabungan sifat penyayang dan mengambil berat. Atau ada elemen membeli jiwa yang keterlaluan – bak kata anak-anak muda sekarang ini tangkap lentok, tangkap leleh.

Ada juga mengaitkan romantik dengan sikap mengambil berat bagi perkara yang dianggap oleh lelaki Melayu remeh-temeh.

Misalnya sanggup bangun memberi tempat duduk kepada wanita. Maknanya ada elemen baik hati dalam romantik.
Lelaki Melayu tidak kisah benda remeh-

temeh. Untuk bangun memberi laluan atau tempat duduk sememangnya bukan perkara yang gemar dilakukan oleh lelaki Melayu.

Bukan juga amalan lelaki bukan Melayu tempatan. Justeru jika dikatakan lelaki Melayu tidak romantik mengambil kira keprihatinan perkara remeh-temeh, memang ada benarnya. Tetapi bukan lelaki Melayu saja. Pendek kata semua lelaki tempatan bersifat begitu.

Itu belum lagi disentuh bab mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertemu yang bagi wanita atau gadis sangat penting. Memang bagi wanita semua tarikh penting, malangnya tidak bagi lelaki
Sebab itu ada lelaki Melayu menghantar sejambak bunga dua hari sebelum ulang tahun kelahiran isteri atau teman wanitanya. Bila ditanya untuk apa bunga itu, dia baru tersedar dan memberi alasan kononnya kejutan pra hari jadi. Itulah lelaki Melayu. Bukan saja tidak romantik, tetapi golongan itu juga selamba dan dikatakan bijak membuat alasan.

Kesemua itu bertujuan menutup kesalahan dan kelemahan yang amat ketara iaitu tidak romantik.

Ada juga berpendapat, lelaki tempatan terutamanya Melayu romantik berkala. Ada masa tertentu alahai romantiknya dia. Apabila taufan melanda, hilang romantik – tanggung sajalah padahnya.