Rabu, 9 Mac 2011

Minggu tidak menonton TV


21 hingga 27 April - MINGGU TIDAK MENONTON TELEVISYEN

Mengapa tidak menonton televisyen?



Menonton TV telah menghabiskan masa yang sepatutnya diluang bersama-sama keluarga. Tabiat ini juga merupakan sebab utama berlakunya obesiti dalam kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak. Menonton televisyen yang berlebih-lebihan untuk tujuan rekreasi telah menyebabkan wujudnya gaya hidup suka berseorangan dan tidak banyak melibatkan aktiviti fizikal. Justeru ia tidak baik dari segi mental mahupun fizikal. MINGGU TIDAK MENONTON TELEVISYEN membantu dalam menaikkan kesedaran bahawa masa menonton televisyen perlu dihadkan kepada kurang daripada dua jam sehari. Di kebanyakan negara, kanak-kanak dan golongan muda menghabiskan mada antara 4 hingga 6 jam sehari menonton televisyen, bermain permainan video, atau menggunakan komputer untuk tujuan rekreasi.

Menutup televisyen memberi peluang kepada anda untuk berfikir, membaca, mencipta dan membuat sesuatu yang baru.

Siapakah yang perlu mengambil bahagian?

Kempen ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja. Terdapat berjuta-juta orang di seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam minggu tidak menonton televisyen. Kanak-kanak dan golongan dewasa, kaya dan miskin – tanpa mengira latar belakang dan lapisan hidup – mengambil bahagian melalui sekolah, institusi agama, kumpulan komuniti, keluarga dan individu-individu.

Minggu Tidak Menonton Televisyen Boleh Berjaya!

Berdasarkan bancian yang dilakukan oleh Sekretariat Minggu Tidak Menonton Televisyen sebagai susulan kepada kempen yang dijalankan, didapati 90% daripada peserta tersebut berjaya mengurangkan menonton televisyen setelah menyertai kempen ini.

Kad Laporan

Sepanjang tempoh tersebut, peserta diminta mengisi Kad laporan untuk mencatatkan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak atau anda apabila tidak menonton televisyen.

Pada 27 April, kad laporan itu akan dikutip semula untuk dibuat analisis. Selain itu ibu bapa turut diminta berkongsi pengalaman mereka memantau aktiviti anak-anak apabila tidak menonton televisyen.

TUTUP TV DAN MULAKAN HIDUP ANDA

~~~~~~~~~~~~~~~~~



Alahai sunyinya hidup aku kalau tak dapat menonton tv, semua rancangan kegemaran aku ada tiap-tiap hari kat TV. Kalau Hari Tidak Berbelanja oklah boleh ikut tapi Hari Tidak Menonton TV belum tahu lagi.


Tanam ternak guna sendiri jimat cermat bina ekonomi



Latar Belakang

Pewujudan semula Kempen Bumi Hijau (dahulunya Buku Hijau) yang berteraskan ‘Amalan Bercucuk Tanam’ telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian.

Langkah ini diharap dapat membendung impak kenaikan harga barangan makanan serta meringankan beban kewangan kesan kenaikan harga minyak.

Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama di kalangan penduduk-penduduk taman perumahan di Bandar.

Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan di samping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.


Konsep Perlaksanaan

Kempen ini terdiri daripada 3 komponen iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur.

Amalan bercucuk tanam yang akan dilaksanakan berkonsepkan ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’ dengan menanam tanaman yang bersesuaian dengan ruang yang sedia ada untuk keperluan keluarga.

Kempen ini menekankan konsep pengeluaran makanan hanya untuk yang boleh ditanam sendiri sahaja. Jenis tanaman yang boleh ditanam terdiri daripada sayur-sayuran daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.

Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan fokus utama disasarkan kepada penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah.

Bagi menjayakan kempen ini, anak-anak pokok ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah kosong milik kerajaan, majlis tempatan, swasta, rumah ibadat dan sebagainya yang berhampiran.

Tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman seperti sawi, bayam, cili terung, selom dan herba seperti daun kari, daun kunyit sesuai dilaksanakan untuk Kempen Bumi Hijau ini.

Anggaran sejumlah 500,000 anak pokok perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pelancaran Kempen Program Bumi Hijau bagi seluruh negara.

Komponen Ternakan boleh melibatkan aktiviti pemeliharaan ayam kampung untuk daging dan telur.

Akuakultur pula melibatkan aktiviti ternakan ikan keli dalam tangki kanvas, ternakan ikan jenis tilapia dalam sangkar dan pelepasan benih ikan dalam kawasan pengairan umum.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Daripada tanam pokok bunga lebih baik tanam sayur-sayuran kat rumah. Saya tengah mengkaji macam mana nak tanam sayur-sayuran hidroponik dan dalam masa yang sama boleh bela ikan di bawahnya dengan cara itu dapat mengelakkan pembiakkan nyamuk dan kita dapat makan sayur dan ikan sekali.

Macam mana setuju tak?


Dari hati Mahathir


‘Tun Razak mentor saya’

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tun Razak Hussein sebagai seorang mentor dan pelindungnya serta banyak belajar daripada Perdana Menteri Kedua itu.
Dr Mahathir berkata, Razak adalah seorang pemimpin ikhlas yang benar-benar mahu melakukan sesuatu untuk negara dan orang Melayu.
“Kecenderungan beliau yang sering menyebelahi saya ketika itu amat ketara sehingga mengundang rasa cemburu dalam parti. Ada juga cakap-cakap saya menjadi budak kesayangannya, namun saya sendiri tidak begitu biasa dengannya ketika itu.

“Kami tidak pernah bersosial, tetapi dalam semua hal politik, saya amat bergantung kepada keputusan dan sokongan beliau,” kata Dr Mahathir dalam bukunya. Dr Mahathir berkata, Tun Razak yang mencadangkan beliau bertanding sebagai Ahli Parlimen Kota Star Selatan pada 1964 dan turut menyenaraikan sebagai ahli dalam Jawatankuasa Politik UMNO.

“Sebagai ahli jawatankuasa itu, saya sering ke rumah Tun Razak dan mengadakan perbincangan mendalam dan itulah permulaan hubungan akrab kami.

“Keyakinannya terhadap saya meningkat selepas saya membantu menyelesaikan demonstrasi pelajar ketika menjadi Menteri Pelajaran. Ketika itu, saya hanya mahu beliau menganggap saya sebagai seorang yang boleh diharapkan dan sedia bertindak,” katanya.
Dr Mahathir berkata, satu hari pada 1975 di bangunan Parlimen, Tun Razak mengajak ke tepi dan memaklumkan beliau sedang menghidap penyakit berkaitan darah dan akan berlepas ke London untuk rawatan.

“Sebaik kami menghantar beliau ke London dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah), saya menghubungi doktor peribadi Tun Razak dan selepas itu baru saya tahu beliau menghidap leukemia dan sudah mencapai tahap kritikal. Saya tahu, beliau tidak akan pulih kerana tidak ada rawatan berkesan untuk kanser,” katanya.

Tun Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada 14 Januari 1976 ketika berusia 54 tahun.

Dr Mahathir yang mendapat tahu pemergian Tun Razak sebaik kembali dari Indonesia bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyifatkan kehilangan beliau sebagai tragedi buat dirinya.

~~~Sumber Kosmo~~~



Pada saya Tun Dr Mahathir sentiasa di hati dan tiada siapa di Malaysia yang dapat mengganti kebolehan dan kebijaksanaan beliau dalam mentadbir dan membangunkan Malaysia .Sebelum ini orang luar cuma mengenali Singapura dan Thailand tetapi tidak mengetahui sangat tentang negara di berada di tengahnya. Walau apapun yang orang kutuk tentang beliau tetapi beliaulah menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu tanda.


Beg hijau ganti plastik

MEMPUNYAI rupa bentuk yang fleksibel, ringan, versatil, nipis, boleh dijadikan beg pakai buang, lut sinar, mudah dibentuk dan saiz yang pelbagai. Begitulah senarionya material yang diperbuat daripada bahan petrolium iaitu plastik.

Sehingga kini, penggunaan plastik merupakan sebahagian daripada kelengkapan kehidupan masyarakat hari ini. Dianggarkan hampir setiap hari, kita menggunakan bahan tersebut dalam pelbagai cara dan situasi. Kata orang, tanpa kelibatnya di sisi, ia bagaikan satu kekurangan dalam keperluan hidup seseorang.


MEMPUNYAI pelbagai fungsi dan sesuai dibawa ke mana sahaja.


Selain dijadikan bahan pembungkus atau tempat menyimpan makanan, ia juga berfungsi sebagai bekas minuman, beg membuang sampah, membungkus anak-anak pokok, baja tanaman, penutup komputer dan sebahagian daripada komponen kenderaan.

Melihat keberkesanannya, penggunaan plastik turut merangkumi gaya hidup, nilai dan budaya masyarakat kita. Sesetengah orang menganggap plastik sebagai keperluan harian dan ia mudah dibawa ke mana-mana sahaja.

Bagaimana pula dengan anda? Berapa banyak beg plastik yang anda gunakan dalam masa sehari?

Menurut perangkaan, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik dalam seminggu. Yang pasti, semakin banyak beg plastik dikeluarkan, semakin terjejas ruang persekitaran bumi.


ANEKA pilihan warna beg mesra alam boleh didapati di pasar raya dan pusat beli-belah.


Bayangkan, hanya disebabkan pembuangan beg plastik, negara akan dilanda tragedi banjir besar sehingga mampu meragut nyawa berjuta-juta rakyat seluruh dunia.

Implikasi penggunaan bahan berasaskan plastik terutama beg plastik bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah kesihatan dan ekonomi negara.

Walaupun pelbagai kempen alternatif telah dijalankan, penduduk di seluruh dunia hari ini dilihat seolah-olah terikat dengan penggunaan beg plastik yang tidak biodegradasi atau mereput dengan bantuan organisme dan bersifat tidak lupus.

Sebahagian inisiatif yang telah dijalankan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik adalah dengan menggantikannya dengan penggunaan beg mesra alam atau beg hijau.

"Langkah ini wajar kerana penggunaan beg plastik untuk membeli-belah dan tujuan lain dengan berleluasa telah menyumbang kepada kesan negatif terhadap ekologi dan masalah kesihatan masyarakat hari ini," kata Ketua Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zelina Zaiton Ibrahim.


BEG mesra alam menjadi pilihan alternatif bagi melupuskan penggunaan beg plastik.


Katanya, pelupusan plastik mengambil masa beratus-tahun lamanya untuk mereput dan ia bergantung pada jenis dan kategori plastik berkenaan.

"Kita kena faham bahawa bahan plastik ini mengambil masa sekurang-kurangnya 100 hingga 500 tahun untuk lupus sekiranya ditanam manakala impak pencemaran lebih besar jika dibakar.

"Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Walaupun sebahagiannya dilihat sudah hancur, tetapi bahan-bahan kimia masih terdapat dalam bentuk habuk yang stabil.

"Saya sendiri tertanya-tanya bilakah negara kita akan menetapkan peraturan seperti dilakukan oleh beberapa negara di benua Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri yang digelar beg hijau sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah," ujarnya.

Kata beliau, penggunaan beg hijau secara meluas di luar negara berjaya mengurangkan pencemaran alam sekitar yang melibatkan beg plastik sehingga 30 peratus.

"Justeru, penggunaan beg hijau adalah jalan alternatif, selain meningkatkan sistem pelupusan bahan plastik kepada yang lebih sistematik.

"Caranya mudah dengan memperkenalkan kepelbagaian trend dan rekaan potongan beg tersebut. Dengan mengenengahkan konsep pada rekaan beg tersebut, ia dapat menarik minat pengguna terhadap pilihan beg hijau tanpa mengira peringkat usia.

"Reka bentuk beg yang tahan lama, berwarna-warni, boleh dimasukkan ke dalam beg bimbit, dilipat dan boleh diguna semula dapat mengubah cita rasa dan gaya hidup masyarakat kita hari ini.

"Seperti di England, Ireland, Bangladesh dan Amerika Syarikat, kerajaannya telah memperkenalkan undang-undang bagi penggunaan beg mesra alam," jelasnya berhubung cara memperluaskan penggunaan beg mesra alam kepada para pengguna.


ZELINA ZAITON IBRAHIM


Selain mendekatkan orang ramai terhadap fungsi beg tersebut, Zelina, menjelaskan, ia juga merupakan jalan terbaik bagi melahirkan pereka cipta beg yang ternama.

Dalam mempelbagaikan sentuhan beg mesra alam, para pereka juga berpeluang mengenengahkan bakat yang sedia ada.

Mengenai 'kuasa' yang harus diberikan kepada pengguna berkaitan pemilihan dan pembelian barangan yang memberi kesan minimum terhadap alam sekitar, Zelina berkata:

"Fikir sebelum membeli sesuatu barangan. Adakah ia dapat memberi kesan terhadap ekologi dunia dan kesihatan diri?.

"Sekiranya ada, cuba latih diri anda supaya mengubah gaya hidup yang sihat setiap hari demi menjana persekitaran yang lebih selamat dan aman. Dengan cara mengimbas semula sejarah kehidupan nenek moyang zaman dahulu, ia sedikit sebanyak memberi impak maksimum kepada diri kita".

Tambahnya: "Langkah membawa bakul rotan atau raga ke pasar tani tanpa menggunakan sebarang beg plastik adalah antara langkah terbaik dalam mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh menjejaskan alam sekitar.

"Apa kata, bermula hari ini, anda mengambil pendekatan ini dengan cara menggunakan semula beg tersebut bagi menyelamatkan alam sekitar termasuk ekosistem yang kian pupus dek arus pembangunan semasa," tegasnya.

Seorang pengguna, Magerat Wong, 39, berkata, kerajaan seharusnya menyarankan penjual di setiap pusat beli-belah mahupun pasar raya agar mengenakan caj harga pembelian beg plastik kepada para pengguna.

"Mereka seharusnya menjual beg plastik atau mengenakan cukai pembelian kepada pembeli. Cara ini diharap dapat mendidik pengguna supaya tahu tentang kepentingan dan kesannya terhadap alam sekitar.

"Secara tidak langsung, ia memberi kesedaran kepada mereka mengenai kelebihan membawa beg sendiri sekali gus dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung selama ini," katanya mengulas peranan pengguna dan penjual dalam mengehadkan penggunaan beg plastik.

Walaupun pelbagai kempen dan langkah telah dijalankan, ia tidak akan memberi kesan mendalam sekiranya pihak berwajib tidak mengetatkan dan menguatkuasakan undang-undang pengurangan beg plastik.

"Kita seharusnya mengubah pemikiran seseorang terlebih dahulu sebelum menetapkan langkah penjagaan. Ia mesti dilakukan mulai akar umbi iaitu kepada kanak-kanak sekolah, remaja dan orang dewasa.

"Pupuk kesedaran dan kepentingan menjaga alam sekitar dari peringkat prasekolah atau sekolah rendah. Tetapi yang lebih penting ialah mengharamkan terus penggunaan beg plastik.

"Peraturan keras ini dipercayai berkesan dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar sekali gus menjamin kesejahteraan hidup rakyat di seluruh pelosok dunia," kata seorang peniaga, Mohd Azizuddin Aziz.

~~~ Sumber Kosmo~~~


Masa kat London dulu saya tengok penduduk kat sana pergi ke pasar membawa bakul atau beg kitar semula dari rumah dan jarang saya tengok mereka membawa beg plastik. Mentaliti orang di sana memang jauh ke hadapan sebab itu negara kat sana bersih dan ramai orang tua sebab kualiti udara kat sana bersih.

Di Malaysia baru nak di amalkan terutama kat Selangor setiap hari sabtu tak ada beg plastik di kedai dan pusat beli belah atau di kenakan RM 0.20 bagi satu beg plastik, tetapi kat Kuala Lumpur masih belum di praktik kan lagi.