Selasa, 11 Januari 2011

MENGENALKAN ANAK DENGAN KONSEP KEADILAN

Menempatkan sesuatu pada tempatnya adalah asas kepada keadilan. Ibu bapa harus menyemai benih keadilan ini. Jika sekiranya setiap ahli keluarga dapat memegang konsep keadilan sejati maka suasana kehidupan rumah tangga akan menjadi bertambah ampuh. Amatlah penting kita sebagai ibu bapa menunjukkan tauladan kepada anak-anak dalam segala hal yang berkaitan dengan keadilan.

Anak-anak perlu diberitahu tentang konsep keadilan ini dalam seluruh lingkaran kehidupan mereka. Umpamanya jika sekiranya mereka diziarah oleh datuk dan nenek, yang patut dilakukan ialah mereka harus menyambut datuk dan nenek yang datang mulai di pintu pagar lagi. Bersalam-salaman dengan mereka dengan penuh kemesraan, membawa beg mereka, mempersilakan mereka masuk ke rumah dan bina suasana supaya kedua-duanya beroleh kerehatan. Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah kebolehan anak-anak memberi peluang dan laluan kepada orang yang lebih tua seperti memberi tempat duduk ketika berada di dalam bas.

Bagi membolehkan falsafah ini difahami, dihayati dan dipraktikkan, langkah-langkah berikut perlu diambil kira :

  • Jangan mengabaikan pendidikan akhlak dan nilai-nilai murni kepada anak-anak termasuk perkara-perkara yang bersangkutan dengan konsep keadilan

  • Bentangkan kerasionalan, akhlak dan pekerti mulia kepada mereka terutamanya yang berhubung dengan keadilan.

  • Tentukan anda sebagai ibu dan bapa terlebih dahulu memahami, menjiwai dan memperaktikkan nilai-nilai keadilan dalam sebarang aktiviti yang dilakukan.

  • Yakinkan anak-anak anda bahawa demi menegakkan keadilan, pengorbanan sangat-sangat diperlukan. Kesanggupan menghadapi kesukaran, kurang keselesaan dan pemerahan tenaga adalah di antara hal-hal yang terpaksa dilalui bagi meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

  • Sering yakinkan anak-anak anda bahawa rasa keseronokan, rasa kelegaan dan rasa kepuasan yang sebenarnya akan muncul dan boleh dinikmati setelah mereka memberi sedikit pengorbanan.

  • Tanamkan kepada benak setiap anak anda bahawa dalam menjalani proses hidup seterusnya, hal-hal yang bersangkut dengan keadilan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Hal-hal sedemikianlah yang menjadi pengikat dan penyubur kepada benih-benih kasih sayang yang hendak dipupuk.

Dipetik dari buku "40 Kesilapan Mendidik Anak"
oleh Dr. Hassan Hj. Mohd Ali

MERAIKAN ANAK-ANAK KETIKA MEREKA PERGI DAN PULANG DARI SEKOLAH

MERAIKAN ANAK-ANAK KETIKA MEREKA PERGI DAN PULANG DARI SEKOLAH

Kerap terjadi di kalangan ibu bapa yang gagal memberi didikan dan tumpuan terhadap anak-anak yang bersekolah, terutamanya ketika mereka pergi ke sekolah atau pulang dari sekolah. Ibu bapa tidak meraikan anak-anak mereka ketika pergi dan pulang dari sekolah. Ini berpunca dari kesibukan mereka dalam menjalani tugas ataupun sememangnya mereka malas dan menganggap kerja-kerja seperti ini satu perkara yang kecil dan remeh.

Ibu bapa seharusnya menyedari kecuaian mereka meraikan anak-anak semasa pergi dan pulang dari sekolah. Sekiranya anak-anak dibiarkan pergi dan pulang tanpa ditanya dan diraikan, mereka akan berasa kurang ceria, kurang berminat dan adakalanya anak-anak boleh membohongi ibu bapa dengan mudah, bahkan kadang-kadang ibu bapa tidak tahu apa yang anak-anak mereka lakukan. Bagi anak-anak pra sekolah, lebih-lebih lagi yang baru masuk sekolah atau setahun bersekolah, tentulah anak-anak ini masih ada lagi perasaan takut untuk bersekolah. Ketika proses awal persekolahan inilah ibu bapa perlu mengambil perhatian terhadap anak-anak mereka.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan melapangkan sedikit masa untuk meraikan pemergian dan kepulangan mereka dari sekolah. Perkara-perkara berikut mungkin boleh dijadikan amalan harian :

  • Mengejutkan mereka dari tidur dengan penuh kasih sayang

  • Menahan sabar terhadap sebarang kerenah mereka pada waktu pagi sebelum pergi ke sekolah.

  • Cuba untuk bersama-sama bersarapan pagi dengan mereka sambil menanyakan kemajuan persekolahan mereka.

  • Sama-sama bergerak ke muka pintu untuk melepaskan mereka pergi sambil bersalam-salaman dan berdakap-dakapan. Suasana berkasih sayang seperti ini amat penting terutama bagi mencairkan kerenah-kerenah negatif yang biasanya ditunjukkan pada waktu pagi. Kalau ada peluang cuba hantar sendiri anak-anak ke sekolah. Dalam perjalanan yang singkat itu banyak bentuk komunikasi yang dapat dilakukan. Banyak proses faham-memahami dapat diusahakan. Jadikan rutin seperti ini sesuatu yang menyeronokkan.

  • Raikan kepulangan mereka. Tanyakan apa yang berlaku di sekolah. Sajikan makanan mereka. Kalau berkelapangan, hadirkan diri sebentar untuk sama-sama menjamah makanan dengan mereka.

  • Sering ingatkan mereka tanggung jawab menyembah Allah S.W.T sebelum mereka melakukan perkara-perkara lain