LELAKI Melayu tidak romantik? Pasti ada yang bersetuju dan sebaliknya. Persoalan ini bukan baru. Ketika pekerja asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan berduyun-duyun masuk ke Malaysia, isu ini hangat diperkatakan.
Khabarnya gadis tempatan berpinar mata untuk membuat pilihan.
Selain kelihatan segak, bergaya – lelaki asing dikatakan ada faktor ekstra iaitu romantik. Tidak kurang juga memilih lelaki dari negara sempadan. Sampai sanggup buang emak, buang saudara semata-mata mahu mengikat kasih dengan lelaki bukan Melayu.
Bagaimanapun pula lelaki bukan Melayu tempatan. Lelaki berbangsa Cina, India? Romantikkah mereka berbanding kaum sejenis tetapi berketurunan Melayu?
Bertambahkah angka perkahwinan campur antara gadis Melayu dan lelaki bukan Melayu? Jika meningkat mungkin boleh dijadikan fakta sokongan bahawa lelaki bukan Melayu memang romantik. Sebab itu agaknya mereka berjaya menambat hati gadis Melayu.
Istilah romantik pun bukan lahir dalam masyarakat Melayu. Ia istilah bahasa Inggeris, yang jika dirujuk kepada kamus diterjemahkan menjadi romantis. Tidak ada penjelasan lanjut perihal romantis.
Justeru romantik atau romantis itu sifat sebenarnya sangat subjektif. Boleh jadi ia gabungan sifat penyayang dan mengambil berat. Atau ada elemen membeli jiwa yang keterlaluan – bak kata anak-anak muda sekarang ini tangkap lentok, tangkap leleh.
Ada juga mengaitkan romantik dengan sikap mengambil berat bagi perkara yang dianggap oleh lelaki Melayu remeh-temeh.
Misalnya sanggup bangun memberi tempat duduk kepada wanita. Maknanya ada elemen baik hati dalam romantik.
Lelaki Melayu tidak kisah benda remeh-
temeh. Untuk bangun memberi laluan atau tempat duduk sememangnya bukan perkara yang gemar dilakukan oleh lelaki Melayu.
Bukan juga amalan lelaki bukan Melayu tempatan. Justeru jika dikatakan lelaki Melayu tidak romantik mengambil kira keprihatinan perkara remeh-temeh, memang ada benarnya. Tetapi bukan lelaki Melayu saja. Pendek kata semua lelaki tempatan bersifat begitu.
Itu belum lagi disentuh bab mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertemu yang bagi wanita atau gadis sangat penting. Memang bagi wanita semua tarikh penting, malangnya tidak bagi lelaki
Sebab itu ada lelaki Melayu menghantar sejambak bunga dua hari sebelum ulang tahun kelahiran isteri atau teman wanitanya. Bila ditanya untuk apa bunga itu, dia baru tersedar dan memberi alasan kononnya kejutan pra hari jadi. Itulah lelaki Melayu. Bukan saja tidak romantik, tetapi golongan itu juga selamba dan dikatakan bijak membuat alasan.
Kesemua itu bertujuan menutup kesalahan dan kelemahan yang amat ketara iaitu tidak romantik.
Ada juga berpendapat, lelaki tempatan terutamanya Melayu romantik berkala. Ada masa tertentu alahai romantiknya dia. Apabila taufan melanda, hilang romantik – tanggung sajalah padahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan