Jumaat, 4 Mac 2011

Trend Lelaki Bimbit Tas Tangan Wanita


Lelaki bimbit tas tangan wanita : Tak macho tapi nampak seperti budiman

Ramai lelaki cuba menonjolkan sifat budiman sama ada melalui tingkah laku, pertuturan, penampilan atau etika diri dengan pelbagai sebab dan alasan paling kerap dilakukan tentunya untuk kelihatan menarik di mata wanita.
Gelagat golongan Adam berlagak ‘gentleman’ yang biasa dilihat terutama di dalam kelompok lelaki Asia adalah aksi mereka menjinjit tas tangan milik isteri atau teman wanita ketika membeli-belah.

Pertolongan dihulurkan itu kelihatan tulus ikhlas tapi kadangkala boleh mengundang rasa jelak daripada khalayak mungkin kerana pelakunya banyak terdiri daripada golongan di bawah umur.

Namun, tidak ada hukum mengatakan ia dosa atau salah tapi tetap ada yang mencemuh mungkin kerana nampak seperti tidak kena gaya.

RATU cuba merungkai isu itu dengan mendapatkan pandangan daripada wanita sendiri, mungkin boleh dijadikan panduan bagi golongan lelaki.

Sokong

Pelajar, Hafieza Ariffin, 22.

“TINDAKAN itu nampak seperti tidak ada salahnya. Kalau lelaki boleh tolong bawakan beg plastik untuk isteri atau kekasihnya sama saja jika dia tolong bawakan beg tangan.

“Konsepnya adalah tolong-menolong. Mana tahu, jikalau beg itu berat sangat dan wanita itu perlukan pertolongan untuk ringankan beban menyandang beg,” katanya.

Suri Rumah, Nor Fazuliana Johari, 22.

“APABILA ada anak kecil, dia memerlukan pertolongan suami untuk membawa tas tangannya tatkala keluar ke mana-mana. Saya suka bila suami tawarkan diri untuk memegang beg kerana dia malas mendukung anak. Jadi, ringan sikit beban lagipun mengendong anak dan beg sekali gus tentunya boleh mengundang masalah lain seperti diragut,” katanya.

Tak sokong

Usahawan, Roslawati Ramly, 39.

“MENGAKUI tidak akan sesekali membenarkan lelaki menyandang tas tangannya kerana aksi lelaki sebegitu nampak pelik. Tak macho lelaki begitu malah secara peribadi, saya sendiri tak suka lihat lelaki bimbit tas tangan teman wanita atau isteri kecuali pegang sebentar sementara ingin ke tandas.

“Selalunya anak muda sering bersikap begini mungkin kerana ingin menunjukkan sikap mengambil berat demi untuk memenangi hati teman wanitanya. Tapi bagi saya, untuk kelihatan budiman dan penyayang, lelaki juga perlu kelihatan macho. Jadi, dalam apa juga tindakan, biarlah kena pada tempat,” katanya.

Usahawan, Aff Fridawati Dahlan, 29.

“LELAKI tidak sesuai mengendong tas tangan wanita walau berada dalam apa juga situasi dan tempat. Saya akui, rimas apabila melihat atau berdepan lelaki yang sering menawar diri untuk membawa tas tangan saya apabila keluar bersama.

“Mungkin wanita yang berada di dalam situasi itu terpaksa akur dengan sikap lelaki terutama budak muda yang kononnya mahu tunjukkan sifat budiman. Jika menolak, bimbang dikata tidak menghargai tapi jujur dikatakan, lelaki memang tidak sesuai membawa tas tangan wanita,” katanya.

~~ Sumber Berita Harian~~

***********************************

Selalu jugaklah saya tengok kat shopping complex lelaki yang tolong pegang beg tangan teman wanita atau isteri mereka. Tapi pada saya secara peribadi memang tak berapa berkenan tengok lelaki bawa beg tangan wanita maklumlah dalam beg tangan tu kan ada macam-macam benda terutamanya duit seolah-oleh lelaki tersebut macam nak kontrol duit perempuan pulak, lelaki yang macho tak mau pengang beg tangan wanita sebab dia rasa malu walaupun setengah orang akan anggap budiman. Beg tangan wanita bukan berat sangat sampai nak tolong pegang lain lah kalau tolong pegang beg plastik shopping ker yang berat-berat tu. Beg tangan wanita ni hak peribadi tau bukan sebarangan orang boleh buka atau pegang .

Apa komen anda????