Logik atau tidak, masing-masing punya cara, punya rasa. Hakikatnya wanita pula dalam usia 40 tahun semakin matang dan masak dengan rencah kehidupan terutama bab rumah tangga.
Pun tidak dinafikan, agenda utama wanita dalam usia 40 tahun sekarang ini adalah bagaimana mengekalkan kecantikan dan kelangsingan tubuh badan. Sebab itu gaya hidup orang sekarang.
Kalau dulu, ibu-ibu dan suri rumah tidak begitu ambil berat tentang bentuk badan dan rupa paras mereka kerana lebih utamakan rumah tangga suami dan anak-anak, sekarang tidak lagi.
Kebanyakan wanita sanggup berhabis wang ringgit dan membuang masa semata-mata untuk cantik dan tampil menawan mengikut peredaran masa.
Nampak kedut di muka mula resah gelisah. Nampak tubuh yang tembam mula tak makan. Tidur pun jadi tidak menentu sebab asyik berfikir bagaimana hendak mengatasi masalah badan gemuk dan muka berkedut.
Malah ada sampai lalai terhadap rumah tangga, suami dan anak-anak kerana menghabiskan masa di spa, salun dan kelas senaman. Janji tubuh cantik dan wajah berseri macam bulan di pagar bintang.
Hasilnya jangan terkejut jika anda ke majlis-majlis tertentu, nampak wajah wanita yang sama saja, sepesen kata orang, putih melepak dan gebu semacam. Itu juga sudah menjadi trend.
Tapi tidak semua, ada juga wanita yang bertanggungjawab dan kekal prestasi sebagai isteri dan ibu mithali.
Tidak salah mahu kelihatan cantik tetapi biar patut padan. Ingatlah, kecantikan hanya sementara, sampai masa akan pudar juga.
Seperti yang saya katakan di awal catatan, usia dan angka bukan halangan untuk mendapatkan sesuatu. Biarlah usia dan angka menjadi sandaran dan sasaran buat kita terus hidup dan menjadi manusia. Salam