uruterbang pesawat pejuang wanita pertama
|
|
MEMANDANGKAN status beliau sebagai juruterbang pesawat pejuang wanita pertama angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), penulis telah membayangkan Lt. Kol. Emilia Kamaruddin sudah semestinya seorang wanita yang tegas, cergas dan tampak ‘garang’.
Namun sangkaan itu meleset apabila berpeluang bertemu dengan Emilia yang kini menjawat jawatan sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Wanita berumur 44 tahun kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor ini kelihatan seperti wanita biasa - sopan mengenakan tudung walaupun lengkap memakai pakaian seragam, berbudi bahasa, santun berbual, peramah dan mudah didekati.
Katanya, menjadi juruterbang tidak jauh bezanya dengan kerjaya yang lain malah rutin hariannya juga sama.
“Seperti wanita lain yang mempunyai kerjaya, saya tidak terkecuali, bangun pagi menyiapkan sarapan, menghantar anak-anak ke sekolah jika berkesempatan, kemudian ke tempat kerja. Bila pulang saya sudah bersedia menjadi ibu kepada enam anak yang masih kecil dan meningkat remaja,’’ ujarnya sambil tersenyum.
Beliau mengakui hubungan dengan anak-anak cukup akrab, namun agak melucukan, anak-anaknya tidak terdedah dengan kerjaya sebenar si ibu, seorang juru terbang yang mahir mengendalikan jet-jet pejuang hebat seperti Skyhawk dan Hawk.
“Betul, mereka tidak tahu saya juruterbang yang boleh menerbangkan pesawat dan jet pejuang. Saya tidak pernah bercerita kehebatan dan keseronokan membawa pesawat malah tidak pernah membawa mereka ke tempat kerja,’’ ujarnya sambil ketawa.
Tambahnya, besar kemungkinan anak-anak juga tidak tahu beliau antara wanita Malaysia yang sulung dianugerahkan sayap dan lesen menerbangkan jet pejuang di negara ini.
Nama Emilia sememangnya sentiasa dijadikan rujukan kepada generasi muda terutama wanita yang ingin menggapai kejayaan dalam kerjaya juruterbang, malah pencapaiannya itu juga terpahat dalam buku Malaysian Book of Records.
“Tidak ada sesiapa yang memberitahu mereka, suami juga tidak bercerita. Anak-anak juga tidak menunjukkan kecenderungan untuk mengikut jejak langkah, justeru saya biarkan mereka memilih apa yang mereka ingin lakukan,’’ jelasnya.
Agak mengejutkan, Emilia mengakui kerjaya sebagai juruterbang tidak pernah tertulis dalam kamus hidup, apatah lagi bergelar antara juruterbang wanita pertama Malaysia.
“Saya mengaku lasak dan suka kerjaya yang mencabar dan yang sering dijawat oleh lelaki, tetapi bukan juruterbang, tidak pernah terlintas pun.
“Saya minat kejuruteraan dan mempunyai kelulusan dalam bidang yang sama dari Kolej Teknologi Llandrillo, North Wales, United Kingdom peringkat A Levels dan menyambung peringkat ijazah di Universiti Loughborough, England, United Kingdom.
“Malangnya sekembali ke tanah air, saya tidak berpeluang bekerja sebagai jurutera sebab tidak ada kekosongan jawatan walaupun puas memohon,’’ katanya.
Bosan menjadi penganggur, Emilia tertarik dengan tawaran iklan yang menawarkan kerjaya dalam TUDM dan terus mencuba nasib.
Selepas dipanggil temuduga dan berjaya disenarai pendek dengan beberapa wanita lain, Emilia sedar sebelah kakinya sudah pun menjadi sebahagian anggota tentera.
“Telahan saya tepat, selepas ujian kecerdasan dan kesihatan, saya terpilih dengan tiga lagi wanita lain dan kami diserap menjalani latihan selama enam bulan di TUDM Kinrara, Puchong,’’ ujarnya
Meskipun masih berasa janggal dengan tawaran yang diterima namun Emilia mula seronok dengan dunia baru.
“Saya perasan ketika itu, terlalu banyak yang perlu dipelajari tetapi saya menyukainya walaupun tersasar jauh daripada bidang kejuruteraan.
“Pertama kali menjalani latihan di dalam kokpit, saya sedar besar tanggungjawab yang dipikul nanti tetapi saya degilkan hati dan syukur, segala-galanya berlalu dengan baik,’’ katanya.
Pada hari penganugerahan sayap penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam, bermulalah episodnya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM.
Selepas 19 tahun menjawat jawatan sebagai juruterbang, banyak kenangan pahit manis yang ditempuh.
Paling diingati, mengadakan pertunjukan lintas lalu empat pesawat sempena Hari Kemerdekaan negara. Pesawat yang dibawanya juga pernah mengalami masalah teknikal dan menjunam namun beliau sempat mengendalinya dan naik semula.
Ditanya tidak timbulkah perasaan gerun semasa menerbangkan jet pejuang, katanya, ia banyak bergantung kepada kekuatan fizikal dan mental.
“Kalau memandu kereta, ruang agak sempit dan kita boleh kawal, tetapi di laluan udara ruang terlalu luas dan risiko kemalangan memang tinggi.
“Satu peratus kesilapan pun boleh menyebabkan jatuh terhempas,’’ ujarnya yang juga telah ditauliahkan sebagai Jurulatih Penerbangan TUDM Wanita Pertama.
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan.
Sokongan suami, Abdul Aziz Ali yang sama-sama dalam TUDM suatu ketika dahulu menyempurnakan dirinya menjadi juruterbang yang disegani.
Anak sulung Afiq Farhan, 16; Amar Fikri, 15; Nur Ain Shahirah, 12; Nur Zihan Shuhada, 11
Muhammad Harith Fahmi, 7 dan Siti Aisyah Saffiyah, 2 pula menyempurnakan dirinya sebagai isteri dan ibu yang amat dikasihi.
Biodato Lt. Kol. Emilia Kamaruddin
* Terima Sayap Penerbangan pada April 1988
* Juruterbang Pesawat Skyhawk 1989 - 1992
* Jurulatih Penerbangan 1992 - 1995
* Ketua Operasi Pusat Simulator Pejuang 1995 - 1997
* Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pejuang 1999 - 2001
* Jurulatih Penerbangan 2001 - 2004
* Pegawai Staf 2 Latih, Markas Pendidikan Udara 2005 - 2006
* Pegawai Staf 1 Rancang Eksesais, Markas Operasi Udara September 2006 - April 2007
* Juruarah, Maktab Turus Angkatan Tentera - April 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan