Rabu, 9 Mac 2011

Beg hijau ganti plastik

MEMPUNYAI rupa bentuk yang fleksibel, ringan, versatil, nipis, boleh dijadikan beg pakai buang, lut sinar, mudah dibentuk dan saiz yang pelbagai. Begitulah senarionya material yang diperbuat daripada bahan petrolium iaitu plastik.

Sehingga kini, penggunaan plastik merupakan sebahagian daripada kelengkapan kehidupan masyarakat hari ini. Dianggarkan hampir setiap hari, kita menggunakan bahan tersebut dalam pelbagai cara dan situasi. Kata orang, tanpa kelibatnya di sisi, ia bagaikan satu kekurangan dalam keperluan hidup seseorang.


MEMPUNYAI pelbagai fungsi dan sesuai dibawa ke mana sahaja.


Selain dijadikan bahan pembungkus atau tempat menyimpan makanan, ia juga berfungsi sebagai bekas minuman, beg membuang sampah, membungkus anak-anak pokok, baja tanaman, penutup komputer dan sebahagian daripada komponen kenderaan.

Melihat keberkesanannya, penggunaan plastik turut merangkumi gaya hidup, nilai dan budaya masyarakat kita. Sesetengah orang menganggap plastik sebagai keperluan harian dan ia mudah dibawa ke mana-mana sahaja.

Bagaimana pula dengan anda? Berapa banyak beg plastik yang anda gunakan dalam masa sehari?

Menurut perangkaan, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik dalam seminggu. Yang pasti, semakin banyak beg plastik dikeluarkan, semakin terjejas ruang persekitaran bumi.


ANEKA pilihan warna beg mesra alam boleh didapati di pasar raya dan pusat beli-belah.


Bayangkan, hanya disebabkan pembuangan beg plastik, negara akan dilanda tragedi banjir besar sehingga mampu meragut nyawa berjuta-juta rakyat seluruh dunia.

Implikasi penggunaan bahan berasaskan plastik terutama beg plastik bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah kesihatan dan ekonomi negara.

Walaupun pelbagai kempen alternatif telah dijalankan, penduduk di seluruh dunia hari ini dilihat seolah-olah terikat dengan penggunaan beg plastik yang tidak biodegradasi atau mereput dengan bantuan organisme dan bersifat tidak lupus.

Sebahagian inisiatif yang telah dijalankan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik adalah dengan menggantikannya dengan penggunaan beg mesra alam atau beg hijau.

"Langkah ini wajar kerana penggunaan beg plastik untuk membeli-belah dan tujuan lain dengan berleluasa telah menyumbang kepada kesan negatif terhadap ekologi dan masalah kesihatan masyarakat hari ini," kata Ketua Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zelina Zaiton Ibrahim.


BEG mesra alam menjadi pilihan alternatif bagi melupuskan penggunaan beg plastik.


Katanya, pelupusan plastik mengambil masa beratus-tahun lamanya untuk mereput dan ia bergantung pada jenis dan kategori plastik berkenaan.

"Kita kena faham bahawa bahan plastik ini mengambil masa sekurang-kurangnya 100 hingga 500 tahun untuk lupus sekiranya ditanam manakala impak pencemaran lebih besar jika dibakar.

"Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Walaupun sebahagiannya dilihat sudah hancur, tetapi bahan-bahan kimia masih terdapat dalam bentuk habuk yang stabil.

"Saya sendiri tertanya-tanya bilakah negara kita akan menetapkan peraturan seperti dilakukan oleh beberapa negara di benua Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri yang digelar beg hijau sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah," ujarnya.

Kata beliau, penggunaan beg hijau secara meluas di luar negara berjaya mengurangkan pencemaran alam sekitar yang melibatkan beg plastik sehingga 30 peratus.

"Justeru, penggunaan beg hijau adalah jalan alternatif, selain meningkatkan sistem pelupusan bahan plastik kepada yang lebih sistematik.

"Caranya mudah dengan memperkenalkan kepelbagaian trend dan rekaan potongan beg tersebut. Dengan mengenengahkan konsep pada rekaan beg tersebut, ia dapat menarik minat pengguna terhadap pilihan beg hijau tanpa mengira peringkat usia.

"Reka bentuk beg yang tahan lama, berwarna-warni, boleh dimasukkan ke dalam beg bimbit, dilipat dan boleh diguna semula dapat mengubah cita rasa dan gaya hidup masyarakat kita hari ini.

"Seperti di England, Ireland, Bangladesh dan Amerika Syarikat, kerajaannya telah memperkenalkan undang-undang bagi penggunaan beg mesra alam," jelasnya berhubung cara memperluaskan penggunaan beg mesra alam kepada para pengguna.


ZELINA ZAITON IBRAHIM


Selain mendekatkan orang ramai terhadap fungsi beg tersebut, Zelina, menjelaskan, ia juga merupakan jalan terbaik bagi melahirkan pereka cipta beg yang ternama.

Dalam mempelbagaikan sentuhan beg mesra alam, para pereka juga berpeluang mengenengahkan bakat yang sedia ada.

Mengenai 'kuasa' yang harus diberikan kepada pengguna berkaitan pemilihan dan pembelian barangan yang memberi kesan minimum terhadap alam sekitar, Zelina berkata:

"Fikir sebelum membeli sesuatu barangan. Adakah ia dapat memberi kesan terhadap ekologi dunia dan kesihatan diri?.

"Sekiranya ada, cuba latih diri anda supaya mengubah gaya hidup yang sihat setiap hari demi menjana persekitaran yang lebih selamat dan aman. Dengan cara mengimbas semula sejarah kehidupan nenek moyang zaman dahulu, ia sedikit sebanyak memberi impak maksimum kepada diri kita".

Tambahnya: "Langkah membawa bakul rotan atau raga ke pasar tani tanpa menggunakan sebarang beg plastik adalah antara langkah terbaik dalam mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh menjejaskan alam sekitar.

"Apa kata, bermula hari ini, anda mengambil pendekatan ini dengan cara menggunakan semula beg tersebut bagi menyelamatkan alam sekitar termasuk ekosistem yang kian pupus dek arus pembangunan semasa," tegasnya.

Seorang pengguna, Magerat Wong, 39, berkata, kerajaan seharusnya menyarankan penjual di setiap pusat beli-belah mahupun pasar raya agar mengenakan caj harga pembelian beg plastik kepada para pengguna.

"Mereka seharusnya menjual beg plastik atau mengenakan cukai pembelian kepada pembeli. Cara ini diharap dapat mendidik pengguna supaya tahu tentang kepentingan dan kesannya terhadap alam sekitar.

"Secara tidak langsung, ia memberi kesedaran kepada mereka mengenai kelebihan membawa beg sendiri sekali gus dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung selama ini," katanya mengulas peranan pengguna dan penjual dalam mengehadkan penggunaan beg plastik.

Walaupun pelbagai kempen dan langkah telah dijalankan, ia tidak akan memberi kesan mendalam sekiranya pihak berwajib tidak mengetatkan dan menguatkuasakan undang-undang pengurangan beg plastik.

"Kita seharusnya mengubah pemikiran seseorang terlebih dahulu sebelum menetapkan langkah penjagaan. Ia mesti dilakukan mulai akar umbi iaitu kepada kanak-kanak sekolah, remaja dan orang dewasa.

"Pupuk kesedaran dan kepentingan menjaga alam sekitar dari peringkat prasekolah atau sekolah rendah. Tetapi yang lebih penting ialah mengharamkan terus penggunaan beg plastik.

"Peraturan keras ini dipercayai berkesan dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar sekali gus menjamin kesejahteraan hidup rakyat di seluruh pelosok dunia," kata seorang peniaga, Mohd Azizuddin Aziz.

~~~ Sumber Kosmo~~~


Masa kat London dulu saya tengok penduduk kat sana pergi ke pasar membawa bakul atau beg kitar semula dari rumah dan jarang saya tengok mereka membawa beg plastik. Mentaliti orang di sana memang jauh ke hadapan sebab itu negara kat sana bersih dan ramai orang tua sebab kualiti udara kat sana bersih.

Di Malaysia baru nak di amalkan terutama kat Selangor setiap hari sabtu tak ada beg plastik di kedai dan pusat beli belah atau di kenakan RM 0.20 bagi satu beg plastik, tetapi kat Kuala Lumpur masih belum di praktik kan lagi.




5 ulasan:

  1. salam Sejahtera..Apa yang diperkatakan tentang penggunaan beg plastik,sangatlah dipersetujui.Kita sudah terbiasa menggunakan beg plastik setiap hari tanpa memikirkan risiko/akibatnya.Good posting.Saya suka your blog.Simple and cool.Selamat berblogging.

    BalasPadam
  2. kat jb pun sama, no plastic bag for hari sabtu di shopping2 complex. masalahnya better dilaksanakan tiap2 hari...

    BalasPadam
  3. Kadang2 terlupa juga nak bawa beg kitar semula dari rumah so terbeli lah juga beg plastik, jadi seeloknya letakkan sentiasa beg kitar semula tu dalam kereta.

    BalasPadam
  4. good job.. sy kebetulan ada jual this eco-bag

    dekat FB fanpage TerbaikDariLadang

    BalasPadam
  5. Untuk elakkan dari terlupa bawa beg recycle dari rumah saya cadangkan kita letakkan saja satu beg di dalam kereta.

    BalasPadam