KUALA LUMPUR 13 Julai - Persatuan pengguna tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengenakan hukuman terhadap individu yang meminjam wang daripada peminjam wang tanpa lesen atau ah long.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, cadangan itu tidak munasabah dan kurang relevan dalam usaha menangani masalah ah long.
"Individu yang ingin mendapatkan bantuan ah long bukan sekadar suka-suka tetapi terdesak kerana masalah kewangan. Mereka juga mungkin tidak mendapat bantuan kewangan daripada orang lain atau pihak bank.
"Peminjam itu bukanlah perompak yang mencuri wang dan harta orang lain untuk mengenakan hukuman. Sepatutnya kerajaan harus menghukum peminjam haram itu yang menyeksa individu yang mendapatkan bantuan kewangan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan 2010) buat kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Menurut Chee Heung, di bawah pindaan baru itu, adalah menjadi satu kesalahan bagi orang yang membantu pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu.
"Selalunya ah long yang menghantar gengster untuk mengugut peminjam duit dan bukannya peminjam yang membawa masalah kepada ah long.
"Kerajaan juga harus memastikan bahawa pihak bank memberikan pinjaman kewangan kepada orang yang sangat memerlukan wang," tegasnya.
Menurutnya, cadangan kerajaan untuk menghukum peminjam wang adalah tidak rasional kerana individu yang menghadapi masalah duit dalam situasi kecemasan sahaja mengharapkan bantuan daripada ah long dan bukan untuk mewujudkan masalah dengan peminjam haram itu.
Sebaliknya kata beliau, rakan-rakan ah long yang bekerja untuk mengugut dan mencederakan individu yang meminjam duit perlu dikenakan hukuman lebih berat kerana mereka bertindak seperti samseng dengan mengganggu ketenteraman awam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula menyokong cadangan kerajaan itu kerana ia boleh membantu menangani masalah ah long.
"Jika kita tidak meminjam duit daripada ah long, peminjam haram itu tidak akan mempunyai pelanggan dan akhirnya mereka akan muflis.
"Teori ekonomi mengatakan bahawa jika tiada permintaan, penawaran tidak akan wujud dan teori itu amat sesuai untuk dikaitkan dalam perkara ini," katanya.
Menurutnya, masalah ah long adalah disebabkan oleh individu yang meminjam duit kerana mereka yang memberi peluang kepada ah long untuk mengambil kesempatan terhadap orang ramai.
"Saya berharap undang-undang baru itu akan melibatkan hukuman terhadap individu yang bersubahat dengan ah long untuk menjalankan peminjaman haram contohnya membuat iklan dan mempromosikan pinjaman ah long,"ujarnya.
~~~ Sumber Fomca~~~
Pada setiap fasa hidup kita, kita mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Setiap peringkat hidup memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Apabila hidup kita berubah, maka kehendak dan keperluan hidup kita turut berubah. Perancangan kewangan membekalkan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup. Perancangan kewangan dapat membantu kita memperbaiki tahap hidup kita; serta mengecapi kepuasan berbelanja. Perancangan kewangan perseorangan turut membantu kita mengumpulkan harta dengan cara yang paling efisyen. Lantaran itu, perancangan ini turut menjamin kedudukan kewangan kita yang turut meningkatkan taraf hidup kita. Pokoknya, perancangan kewangan membekalkan kita idea untuk menguruskan kedudukan kewangan kita agar mencapai matlamat kewangan kita untuk memenuhi keperluan dan kehendak hidup kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan