Selasa, 1 Februari 2011

Rahsia Menambat Hati Lelaki - Part 2


Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda.

Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda beri.

Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang mudah. Bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukan lah payah. Apabila lelaki sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah perkahwinan, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan menyuarakan. Kuasa isteri pula adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan itu akan menjadi porak-peranda.

Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah- rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat demikian, walau bagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan anda. Andalah yang sepatutnya berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan