Ahad, 30 Januari 2011

Mencari jodoh atau menunggu jodoh

Jodoh ditangan Tuhan, apa boleh buat”

“Bukan saya tak mahu kawin, belum jodoh lagi!”

“Apa nak susah-susah kalau dah rezeki nanti, adalah yang datang meminang”

“Takkanlah perigi nak cari timba?”

Dialog di atas tak asing bagi kita. Baru-baru ni seorang pengunjung bergelar sinar mengemukakan komen berikut kepada kami:

first time sy masuk laman ni ,…ape pun nak cari jodoh dan apakah pergertian sebenar jodoh itu…

Beliau juga memberikan komen:

akum,
selalu sangat berbicara mengenai isu calon suami dan isteri … sy minta di adakan isu kenapa jodoh masih tiada…..ini adalah untuk ramai anak -anak gadis yang masih belum bertemu jodoh walaupun telah berusaha ke arah itu……apakah maksud ketentuan atas jodoh,ajal dan maut. Moga dengan ini dapat melegakan hati gadis-gadis (ardartu) untuk terus bertawakal……..

Ya, soal jodoh adalah satu soal yang amat kritikal dalam membina rumahtangga yang bahagia. Masalah jodoh ini bukan sahaja disebut-sebut oleh orang belum berpunya, bahkan ada juga yang telah berkahwin masih keliru dan bingung dalam soal jodoh ini.

Ramai orang kita yang beranggapan soal jodoh ini adalah satu ketentuan yang tidak perlu diusahakan. Bagi mereka rezeki, jodoh dan ajal di tangan Allah, dan manusia hanya perlu pasrah. Lantas mereka terus ‘bertawakkal’ mengikut fahaman yang tidak tepat.

Sahabat besar sayyidina Umar Al-Khattab pernah menangis melihat satu kumpulan jemaah haji dari Yaman yang datang tanpa menyediakan bekalan makanan. Umar menegur dan membetulkan tindakan mereka yang silap dalam memahami konsep tawakkal.

Umar bertanya: Siapakah kamu?

Rombongan Yaman itu menjawab: Kami adalah al-mutawakkilun (orang-orang yang bertawakkal kepada Allah).

Umar menjawab: Kamu sebenarnya al-muta’akkilun (orang-orang yang mengharapkan diberi makanan). Orang yang sebenar-benar bertawakkal ialah orang yang menabur benih di bumi, kemudian bertawakkal kepada Allah.

Nah, itulah jawapannya.

Kisah diatas tentang rezeki. Sama juga dengan jodoh. Jika rezeki perlu diusahakan, maka jodoh juga perlu diusahakan. Jika Ummul Mukminin Khadijah berikhtiar dengan menghantar orang untuk menyatakan hasrat untuk mengahwini Nabi, maka takkan lah wanita hari ini yang lebih terbuka tak berani untuk menyatakan hasrat kepada pihak lelaki secara terhormat begitu.

Itu jika sudah ada pilihan. Jika belum ada, usahakan lah dengan membuat tinjauan dan membuat senarai pendek secara sendirian. Kemudian, teliti dengan penuh hemah dan jangan lupa untuk bersolat istikharah. Jika kenalan dan maklumat terhad, mintalah bantuan dari rakan dan keluarga yang diyakini, berakhlak dan boleh diharap. Jika ada banyak pilihan, pilih lah yang memenuhi sifat yang pernah saya bincangkan dulu. Jangan pula terlalu gopoh sehingga tersilap pilih.

Moga lepas ini para anak-anak dara (andartu) dan bujang (terlajak) tidak mengambil sikap ‘menunggu jodoh’, tetapi bertekad untuk ‘mencari jodoh’. Kami doakan moga permudahkan jalan.

Selamat Berusaha!

Lelaki Pelindung Wanita

Dalam permasalahan sosial sekarang seperti isu buang bayi yang semakin meruncing, masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya. Namun, kita sering melupakan bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari satu pihak sahaja. "Tepuk Sebelah Tangan Takkan Berbunyi". Kita sering melupakan bahawa kelahiran yang sepatutnya suci murni itu turut dicemarkan oleh "ayah" yang tidak bertanggungjawab. Maka seeoloknya kita merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Al Quran;

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lai
n (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka..." (surah al-Nisa', 4:34).


Jika kita sama-sama renung ayat ini, terdetikkah di hati kita betapa besar dan beratnya amanah yang telah Allah berikan kepada kaum lelaki untuk menjadi pemimpin pada wanita. Betapa Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki dan tidak ada pada wanita.

Namun, hari ini, adakah lelaki telah berperanan sebagai pemimpin ????

Lelaki Abai Tugas Pelindung Tanda Akhir Zaman

DIRIWAYATKAN oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan menjadi berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehinggakan 50 wanita hanya dilindungi oleh seorang lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Masalah sosial dan keluarga yang kian meruncing adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya.

Mungkin ramai yang akan menduga hilang semangat kelelakian membawa maksud bertambahnya lelaki lembut seperti yang pernah diperbincangkan dalam akhbar har
ian tempatan suatu waktu dulu.

Ada juga menyangkakan yang dimaksudkan dengan semakin kurangnya bilangan lelaki, tetapi sebenarnya bukan demikian. Bilangan lelaki ramai, jika tidak lebih atau sama dengan bilangan wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya.

Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranannya sebagai lelaki seperti disebutkan oleh al-Quran: “Para lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita.” (Surah al-Nisa, ayat 24)

Hipotesis itu sebenarnya ada kebenarannya, malah tidak keterlaluan jika dikata
kan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita, dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Menariknya, dalam hadis itu Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa maksud lelaki.

Maksudnya, orang lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sama ada tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga ataupun memperlakukan wanita dengan perlakuan memudaratkan mereka, seperti mengeksploit, merogol, menjadikan wanita alat pemuas nafsu dan sebagainya.

Lihat apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin hancur moralnya. Berita kejadian rogol bagaikan sama wajibnya dengan ruangan siaran televisyen di dada akhbar.

Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak, pembantu rumah dan 1001 kejadian dan peristiwa yang jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di Malaysia ini.

Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi kerana mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu ‘pelindung’ bagi wanita.

Apakah rasionalnya teori itu? Jika lelaki mempunyai kelelakian dan menjadi pelindung, dia akan melihat wanita golongan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga kehormatan, tidak boleh dikasari, tidak dieksploitasi apa lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang.

Lelaki yang mempunyai sifat pelindung tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya kerana menyedari dia wajib melindungi maruah wanita itu. Lelaki pelindung tidak akan merogol wanita, kerana beliau menyedari beliaulah yang patut melindungi wanita daripada dikasari dan dizalimi, apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat mereka sendiri.

Seorang lelaki pelindung juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana merekalah yang sepatutnya melindungi wanita daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata, jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

Keluarga memerlukan lelaki pelindung yang tidak akan bermalasan di rumah membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang. Lelaki pelindung juga tidak akan memukul dan mendera sama ada isteri mahupun anaknya.

Lelaki pelindung juga tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut wanita dan ahli keluarganya, tidak akan menggadai maruah anak isteri walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini.

Ironiknya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki. Kedengaran suara sumbang aktivis wanita yang ingin mendapat taraf sama dengan lelaki tanpa menyedari risikonya.

Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini di dominasi lelaki. Di satu sudut, muncul bagai cendawan lepas hujan wanita yang rela diri dieksploitasi lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah.

Bagaikan sesuatu yang biasa, kewujudan GRO, pelacuran sama ada yang terhormat ataupun tidak berlesen. Media berlumba-lumba mempergunakan wanita untuk melariskan produk mereka.

Bagaimana menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung? Proses yang bagaimana perlu diaplikasikan terhadap semua lelaki di Malaysia supaya sedar mereka adalah lelaki dan perlu menjadi pelindung bagi wanita?

Dalam hal ini, lelaki terutama Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dan menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat iu.

Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah, mengikut ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki melindungi wanita mencontohi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita bagaimana melindungi wanita sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah, lelaki akan sentiasa menjadi pelindung bagi wanita.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)