Isnin, 31 Januari 2011

Nik Aziz akui penduduk Kelantan pengotor

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam mengakui sukar mengubah tabiat buruk rakyat negeri itu yang disifatkannya ‘pengotor’ terutama membuang sampah sesuka hati yang menjadi budaya hidup.

Beliau berkata, golongan itu ialah kelompok yang masih mengekalkan cara hidup zaman berzaman hingga membentuk generasi membentang tikar untuk makan sebelum membuang sampah ke bawah rumah melalui celah lantai.

Katanya, generasi itu kini masih wujud walaupun sudah berhijrah ke bandar, tetapi mengekalkan sikap itu sekali gus menjadikan bandar Kota Bharu kotor dan dipenuhi sampah sarap yang dibuang di merata tempat.

“Kita berusaha menghapuskan generasi pengotor ini tetapi bukan senang untuk mengubah pemikiran rakyat, khasnya yang ada
kaitan dengan kebersihan kerana amalan itu (pengotor) menjadi budaya mereka.

“Kita harap generasi itu membuang tabiat buruk (pengotor) bagi memastikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Bandar Kota Bharu Bandaraya Islam berjalan lancar,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kota Bharu Bandaraya Islam di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, mengulas usaha Kerajaan Pas Kelantan melancarkan Kota Bharu Bandaraya Islam sedangkan keadaan sekitar bandar ini sebenarnya masih kotor.

Dalam ucapan pelancaran, Nik Abdul Aziz berkata, MPKB memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, kebajikan dan kesejahteraan penduduk kawasan perbandaran ini yang menjadi asas penting pewujudan sebuah bandar raya Islam.

Beliau berkata, tujuan kerajaan negeri memperkenalkan Islam pada peringkat perbandaran antaranya untuk menghapuskan tuduhan ganas pihak Barat mengenai Islam yang dilabelkan ganas dan suka membunuh orang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Takiyuddin Hassan, mengakui masyarakat negeri ini pengotor.

“Kita akui generasi itu masih ada. Saya bersama Yang Dipertua MPKB sendiri cukup faham mengenai sikap dan perangai masyarakat kita terutama peniaga.

“MPKB sudah diarah bertindak mengarahkan premis perniagaan yang kotor ditutup beberapa hari. Kita akan suruh mereka membersihkan premis itu sebelum dikompaun kerana kotor,” katanya.

1 ulasan:

  1. Minta maaf lah bny2 memang benar.Baik lelaki baik perempuan memang ramai pengotor.Bukan na hina saya dah lama duduk Kelantan

    Perempuan rajin bermake up.Muka senantiasa rspi.Tp tengok bilik tidor.Pakaian ta berlipat.

    Bny rumah di Kelantan ada bilik yg di jadikan store untuk longgok pakaian dan kotak2 dan surat khabar lama.

    Mula saja bersih rumah dan dapur selekeh.Kalau ta biasa mmg ta boleh makan

    BalasPadam