Ahad, 12 Disember 2010

Kumpul Stem satu hobi yang lumayan

Bagi kebanyakan orang, setem hanyalah kepingan kertas kecil yang ditampal di bahagian atas sampul surat. Tetapi tahukah anda, bentuk dan tebukan pada setem mewakili zaman serta perkembangan sejarah sesuatu negara?
Kajian mengenai bentuk, jenis, warna, tebukan dan penghantaran pos ini dipanggil filateli. Setiap setem yang dihasilkan mempunyai cerita dan sejarah berkait rapat dengan pemerintahan dan teknologi pada satu-satu masa.

Perkataan filateli dikatakan dicipta oleh Georges Herpin di Perancis pada 1864. Ia berasal daripada dua perkataan Greek iaitu philos bermaksud mencintai dan llateleiall bermakna percuma.

Pada awalnya, ia meliputi kajian label yang mewakili pembayaran perkhidmatan pos. Dari situ, ia berkembang kepada kajian koleksi sistematik setem, poskad, sampul surat dan bahan pos lain.

Maka, tidak hairanlah ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit hanya untuk memiliki koleksi setem sebelum merdeka. Ada juga yang sanggup merentasi benua untuk menyaksikan sendiri pameran setem di sesebuah negara.

Tiada siapa yang mengetahui sejak bila filateli menjadi hobi. Bagaimanapun, ada yang menyatakan kegiatan mengumpul setem mula mendapat perhatian apabila album setem pertama dikeluarkan di England pada 1852.
Semakin ramai orang mula mengikuti aliran untuk mengumpul setem, menyumbang kepada perkembangan filateli. Hobi ini tidak terhad kepada rakyat biasa dan mula berkembang di kalangan atasan termasuk golongan istana.

Antara koleksi setem terbesar dan tertua dunia dikatakan dimiliki oleh Ratu England.

Peminat filateli tegar di Malaysia, memiliki persatuan sendiri iaitu Persatuan Filateli di Malaysia. Ia menjalin kerjasama rapat dengan Biro Filateli Malaysia dikendalikan oleh Pos Malaysia.

Antara objektif penubuhannya adalah menukar persepsi masyarakat mengumpul setem bukanlah hanya hobi tetapi, aktiviti yang boleh membawa pulangan lumayan.

Biro ini memainkan peranan aktif dalam menyemai minat mengumpul setem di kalangan pelajar sekolah. Selain itu, ia mewujudkan Galeri Setem di ibu pejabat Pos Malaysia di bangunan Dayabumi, Kuala Lumpur.

Pengunjung ke galeri ini berpeluang melihat koleksi setem yang pernah dihasilkan di Malaysia. Antaranya, setem khas sempena penganjuran acara antarabangsa, peristiwa bersejarah dan setem kenang-kenangan edisi terhad.

Kaki tangan terlatih sedia melayan sebarang pertanyaan mengenai setem yang dipamerkan di sini. Sejak dibuka, ia turut menarik kunjungan peminat setem yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Setiap tahun, biro ini memperkenalkan lebih 10 tema koleksi setem dan bahan filateli untuk memenuhi permintaan peminat setem di negara ini.

Untuk kemudahan pengunjung, kaunter khas dibuka untuk mereka yang ingin membeli setem, sampul surat hari pertama, fail, buku setem, album tahunan dan album khas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan